Bercakap mengenai asam keping, pastinya ramai yang pernah melihatnya? Apatah lagi kepada sesiapa yang selalu menjenguk ke dapur untuk memasak. Tetapi, pernahkah kita terfikir, asam keping di perbuat daripada apa? Dari mana asalnya asam keping? Perkongsian yang sangat menarik pada kali ini adalah mengenai sesuatu perkara yang mungkin ramai yang tidak pernah mengetahuinya atau melihatnya sendiri.
Asam keping berasal daripada buah asam gelugur. Asam gelugur adalah sejenis buah yang boleh diperolehi dari pokok asam gelugur. Gambar di atas menunjukkan pokok asam gelugur. Jika diperhatikan dari segi morfologinya, pokok asam gelugur lebih tinggi dari pokok-pokok yang lain dan ketinggiannya boleh mencecah 10 hingga 15 meter.
Daunnya pula berbentuk bujur memanjang seperti yang dapat dilihat dalam gambar di atas. Buah asam gelugur berketak di sekelilingnya. Buah asam gelugor yang muda bewarna hijau manakala buahnya yang sudah matang bewarna kuning.
Pada kebiasaannya, buah yang telah matang akan dikait dengan menggunakan galah. Kadang kala buah asam gelugur ini boleh dijumpai gugur di atas tanah kerana sudah terlalu masak. Untuk membuat asam keping, buahnya akan di potong setebal 3mm. Kemudian ia akan disusun di atas permukaan yang rata dan di jemur di bawah panas matahari selama 4 hingga 7 hari.
Rasa masam dari buah asam gelugur sebenarnya berasal dari rasa masam pelbagai jenis asid yang terkandung di dalam buahnya. Di antaranya adalah asid sitrik, asid tartarik dan asid askorbik di samping ia juga mengandungi khasiat lain seperti serat, vitamin dan mineral. Asam keping digunakan sebagai bahan perasa di dalam kebanyakan masakan seperti asam pedas, masakan singgang dan kuah laksa. selain itu, rasa masam dari asam keping juga digunakan untuk membasuh bahan mentah seperti ikan kerana ia boleh menghilangkan bau yang hanyir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar